Bersolek bukan sekadar untuk cantik, hodoh pun ada

Khidmat juru solek adalah bagi mendapat permintaan tinggi dalam kalangan mereka yang menghadiri majlis atau malam anugerah tertentu bertemakan futuristik mahupun “halloween”.

zombie-makeupfmt-ohsem-inside-article1Kebiasaannya, kebanyakan kita berasa gerun untuk melihat gambar mangsa pembunuhan kejam atau kemalangan teruk. Berlainan pula dengan wanita berasal dari Sibu, Sarawak bernama Norela Ulis, 39, ini.

Sedikitpun tidak berasa takut, ibu kepada 3 anak ini begitu gemar menerokai pelbagai jenis gambar mayat dalam laman sesawang pencarian popular, google, apabila ada sahaja masa terluang.

Lebih teruk keadaan mayat sama ada ia dikerat kepada banyak bahagian, mayat dibakar atau kepala dipenggal itu yang akan menarik perhatian Norela. Menariknya, foto itu bukan dilayari begitu sahaja.

Tetapi, akan diteliti dengan lebih mendalam termasuklah corak atau rupa bentuk luka akibat kesan tembakan misalnya dan warna darah pada setiap mayat berkenaan. Ada kalanya, satu foto yang dilayari mengambil masa sehingga satu jam lamanya!

“Bukan sahaja mayat tetapi apa sahaja gambar kesan kecederaan dikelar, muka kena bom, saya akan cari, kumpul dan simpan dalam satu album untuk dijadikan rujukan. Ia banyak memberi sumber inspirasi kepada saya sebagai jurusolek kesan khas,” katanya kepada Bernama.

Norela dan sentuhan magiknya

Norela atau juga dikenali sebagai Ella Sandera, mungkin satu nama yang agak asing dalam kalangan masyarakat negara ini walhal pada hakikatnya beliau bukanlah calang-calang orang.
Dikenali sebagai pakar solekan kesan khas, kemahiran dan bakat yang diperoleh wanita ini sangat didambakan dalam kalangan penggiat industri kreatif hiburan tempatan.

Ini kerana, beliau begitu terkenal dengan kepandaiannya dalam mengubah wajah/figura seseorang pelakon itu bagi memenuhi tuntutan filem yang memerlukan khidmat tatarias kesan khas seperti bergenrekan pembunuhan, perang dan kemalangan.

Maka tidak menghairankanlah, apabila sebut sahaja nama wanita kreatif ini sudah pasti ada antara juru mekap artis yang gerun mendengarnya berikutan sentuhan jari jemari Ella Sandera dalam menterjemahkan karakter seringkali berjaya membangkitkan rasa takut dalam diri penonton.

READ ALSO  Kelantan gagal manfaat peluang, harapan kekal di Liga Super kian kabur

Mengambil contoh filem seram yang lebih berelemenkan psiko berjudul “Jwanita”, arahan pengarah terkenal Osman Ali yang ditayangkan pada September 2015, mungkin ramai tidak tahu filem penuh debaran yang berjaya mengutip kutipan lebih RM1 juta ini turut menggunakan khidmat Ella Sandera.

“Dalam filem itu, saya berperanan mengubah wajah pelakon kepada karakter lebih menggerunkan dan kecederaan mengerikan pada wajah, badan yang dipenuhi darah bagi menimbulkan elemen seram dalam kalangan penonton.

“Kebanyakan idea yang saya peroleh untuk tugasan filem ini dan lain-lain adalah dengan merujuk pencarian dalam google yang disimpan sebelum ini di dalam satu album khas,” katanya.

Solekan khas ubah rupa asas seseorang

Bukanlah satu kerja mudah untuk menjadikan solekan karakter itu nampak hidup atau ‘real’, Ella Sandera yang berpengalaman membuat kesan khas lebih 40 filem sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam dunia ini berkata tatarias efek khas adalah jauh berbeza dengan mekap biasa.

Ini kerana, normal mekap kebiasaannya lebih tertumpu kepada solekan cantik dan tidak memerlukan hasil yang berlebihan berbanding solekan kesan khas yang agak ekstrem sehingga mampu menghilangkan wajah asal pelakon.

“Solekan kesan khas selalunya akan digunakan dalam teater, drama mahupun filem yang bertemakan seram, fantasi, tembak menembak dan kemalangan. Dengan adanya solekan ini, ia membolehkan seseorang pelakon diubah menjadi pelbagai rupa bentuk seperti yang diingini skrip supaya penonton lebih mempercayai karakter yang dibawa.

“Antara teknik solekan kesan khas adalah membantu untuk menampakkan seseorang itu lebih tua, muda, makhluk asing seperti filem “The Lord of The Rings” dan menghasilkan visual parut bagi memperlihatkan kecederaan teruk dialami pelakon,” katanya.

Selain itu, khidmat juru solek adalah bagi mendapat permintaan tinggi dalam kalangan mereka yang menghadiri majlis atau malam anugerah tertentu bertemakan futuristik mahupun “halloween”.

Sejarah solekan khas bermula sejak 1895

Mengorak sejarah awal solekan ini, buku berjudul ‘Special Effect Make-Up’ oleh Janus Vinther áda menceritakan ia bermula sejak tahun 1895 lagi di mana filem yang terlibat ketika itu ialah ‘Demolition d’un Mur’ yang ditayangkan buat pertama kalinya di Cafebio Paris.

READ ALSO  London mission team finds documents on Sarawak in ‘Migrated Archives’

Penggunaan teknik solekan kesan khas mula berkembang apabila George Melise menerusi filemnya yang berjudul ‘A Trip To The Moon’ (1902) dan ‘An Adventurous Automobile Trip’ (1904) turut tidak terkecuali memanfaatkan penggunaan mekap berkenaan.

Ia semakin rancak menjelang tahun 1950-an apabila filem bergenrekan sains fiksyen dan seram begitu popular menerusi penghasilan karya yang tertumpu kepada peradaban manusia diancam makhluk aneh dari luar angkasa.

“Perkembangan solekan kesan khas ini turut menarik perhatian pembikinan filem di Malaysia. Malah, kita dapat melihat ia diaplikasikan sejak awal lagi ketika zaman televisyen hitam putih pada era seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

“Misalnya, filem bergenre seram berjudul Sitora Harimau Jadian yang ditayangkan pada November 1964, turut menggunakan solekan ini. Sejajar perkembangan dunia masa kini, kaedah dan teknik solekan ini turut berubah-ubah dan semakin hebat,” kata Ella Sandera.

Berguru dengan orang luar

Tidak mahu ketinggalan, wanita ini berkata kebanyakan kemahiran dan ilmu yang diperolehnya adalah menerusi eksperimen sendiri serta berguru dengan pakar solekan kesan khas Hollywood seperti Steve Wang, David Willis dan Rick Baker.

Ini disebabkan, negara agak kekurangan pakar solekan kesan khas dan kebiasaannya teknik yang digunakan di sini hanyalah sekadar asas seperti permainan warna mekap serta penggunaan latex, iaitu sejenis cecair getah asli.

“Solekan kesan khas ini ada banyak kategori tetapi yang banyak digunakan dalam kalangan jurumekap artis negara ini adalah latex dan tisu yang digamkan pada muka pelakon bagi membentuk sesuatu misalnya orang tua.

“Sedangkan di negara luar, pakar juru solek kesan khas menterjemahkan karakter orang tua pada pelakon dengan menggunakan kaedah yang dinamakan prostetik. Ia satu teknik di mana kulit palsu dibuat menggunakan satu acuan berdasarkan wajah pelakon yang diambil saiznya sebelum penggambaraan.

READ ALSO  Tiga sekolah di Perlis, Kedah ditutup akibat banjir

“Ia kemudian membentuk satu objek kulit wajah palsu yang akan ditampal pada muka pelakon dan karakter tua itu nampak lebih ‘real’ berbanding mekap biasa dan latex. Ini yang saya banyak pelajari dengan pakar solekan kesan khas Hollywood menerusi kursus online,” katanya.

Kebiasaannya, solekan prostetik akan digunakan untuk menghasilkan kesan khas kecederaan sangat teruk seperti mayat disembelih, tangan atau badan terputus, terkena bom, atau kecederaan akibat ditembak seperti dalam filem J Revolusi.

Prospek luas

Dalam filem yang ditayangkan awal tahun ini, terdapat satu babak di mana menyaksikan aktor utama Zul Ariffin yang cedera ditembak menjahit sendiri luka di bahunya itu, membuatkan ramai yang kagum kerana kelihatan seperti betul merupakan antara kejayaan solekan prostetik Ella Sandera.

“Pengarah mahukan babak itu ‘close up’, jadi kalau guna mekap tidak cantik. Manakala, latex pula kita tidak akan dapat scene menjahit itu.

“Jadi, di sinilah kebaikan menggunakan solekan prostetik di mana kulit palsu yang ada corak berlubang akan ditampal pada bahunya dan kemudian dimekapkan dengan darah,” katanya.

Bagaimanapun, kemahiran solekan prostetik ini menuntut kesabaran dan ketelitian tinggi bagi seseorang jurusolek artis. Ini kerana, proses membuatnya melibatkan banyak peringkat dan ada ketikanya mengambil masa sehingga lebih sebulan bagi menyiapkan sesuatu objek prostetik itu.

“Untuk kaedah ini bagi mereka yang berminat menceburi bidang solekan kesan khas perlu belajar kerana ia melibatkan bahan kimia. Lagipun, tidak rugi belajar kerana prospek kerjaya ini sangat luas.

“Saya sekarang pun tidak menang tangan memenuhi permintaan dan kini banyak dibantu oleh pelajar ,” katanya yang turut mengadakan kelas solekan kesan khas.

 

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Bahagian pelancongan nusantara merupakan salah satu seksyen yang penting dalam ekonomi Malaysia. Sehingga kini, seksyen pelancongan merupakan sektor kelima terbesar negara selepas sektor perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan petroleum dengan memberikan sebanyak RM36.9 bilion kepada Keluaran Negara Kasar (KNK).

Namun begitu pada peringkat awal selepas pasca kemerdekaan negara, kerajaan tidak memberi penekanan kepada sektor pelancongan. Kerajaan pada ketika itu lebih memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur negara dan melawan ancaman komunis. Selain itu, faktor ancaman dari luar seperti konfrantasi dengan Indonesia turut menjejaskan fokus kerajaan pada ketika itu. Ia sekaligus melambatkan pekembangan sektor pelancongan di Malaysia.

Pada era tahun 60-an, sektor pelancongan masih belum mewujudkan peranan yang utama terhadap perkembangan ekonomi negara. Kerajaan pada ketika itu memberi tumpuan kepada sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah. Sektor hasil alam tersebut telah memberikan sebanyak 45% kepada keluaran Negara kasar (KNK) pada tahun 70-an.